Monday, March 05, 2007

Tajdid Iman: Rahmat menjadi insan disayangi

Pendamping setia beri kekuatan bina perhubungan bahagia, ikhlas

SIAPAKAH diri kita? Apakah kedudukan kita penting di sisi orang yang tersayang? Seorang suami sentiasa berada di sisi isteri, menemaninya mewujudkan impian membina rumah tangga sakinah, mawaddah dan warahmah.

Seorang ibu menjadi sahabat paling setia bagi anaknya dan bersedia membahagi hatinya untuk dikorbankan demi kebahagiaan mereka. Kawan karib selalu mendampingi dalam susah ataupun senang kerana kekuatan persahabatan yang dijalin bersama, tiada hasrat berkhianat untuk kepentingan sendiri.

Begitulah kehidupan anak Adam yang diciptakan untuk saling kenal mengenal, isi mengisi, dokong mendokong kerana mengharapkan kebahagiaan dalam perhubungan mereka.

Inilah kehidupan yang dibentangkan di hadapan manusia, mereka tidak terlepas daripada ‘hubungan kemanusiaan’ antara sesama. Al-Quran menggariskan perjalanan mereka dengan lengkap supaya sentiasa beringat bahawa hidup ini perlu kepada pendamping di sisi.

Menjadi seseorang yang mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain adalah amalan dituntut dalam syariat Islam. Ia amalan paling berat timbangannya di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang paling berat dalam timbangan orang beriman pada hari kiamat selain daripada akhlak yang baik.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, Ahmad dan al-Bukhari)

Apabila seseorang kembali ke rahmatullah, tiada apapun yang akan dikenang kecuali dua perkara; adakah dia hamba Allah yang baik pergaulannya ketika hidupnya atau dia adalah seorang yang jahat perangainya.

Kesan peninggalannya itu akan dinilai oleh manusia yang mengenalinya. Kita pernah berkenalan dengan ramai orang, tetapi adakah sesuatu yang istimewa dapat kita rasa daripada orang yang hadir dalam hidup kita?

Kebaikannya, sifatnya dan akhlaknya yang boleh membuat air mata mengalir apabila mengingati keistimewaannya itu. Insan yang pernah hadir memberi kebahagiaan dalam hidup, kehilangannya membuat hati menjadi rindu dan semakin sayang. Betapa beruntungnya menjadi orang yang dikasihi dan sentiasa dikenang kebaikan dan jasanya.

Anas bin Malik berkata: Telah datang jenazah yang dihantar melewati sahabat Rasulullah SAW, kemudian mereka memujinya dengan kebaikan lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wajib! Tidak lama kemudian datang lagi iringan jenazah lain dan mereka mengatakan keburukannya. Nabi SAW bersabda: “Wajib! Umar bin Khattab bertanya: “Apa yang wajib wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Jenazah yang kalian puji dengan kebaikan maka dia wajib masuk syurga. Dan yang kalian sebut kejahatannya maka dia wajib masuk neraka, kalian adalah saksi-saksi Allah di muka bumi.” (Muttafaqun Alaih)

Manusia hidup mesti merancang supaya kehidupannya berkualiti dan bahagia hingga ke akhir hayat. Namun, jarang yang merancang untuk mati sebagai insan yang disayangi dan dihormati.

Bukan bermaksud gila kehormatan dan pujian orang lain, tetapi merancang menjadi hamba Allah yang disayangi ketika mati. Rasa sayang itu bukan dapat direka-reka, ia lahir daripada hati yang paling suci pada diri manusia.

Kita tidak dapat menolak jika orang sayang kepada diri kita dan kita tidak dapat memaksa orang untuk menyayangi kita. Ia adalah satu perasaan di luar kuasa dan kawalan manusia.

Begitulah ‘rahmat’ istimewa terserlah dalam keperibadian seorang manusia. Hanya Allah SWT yang melimpahkan rahmat kepada diri hamba-Nya sehingga mata sesiapapun yang memandang pasti akan terkenang keunikan kita tanpa paksaan.

Kekuatan kita berada pada orang yang mendampingi kita. Kehadiran mereka memberi satu dimensi positif yang mempengaruhi pemikiran dan perasaan kita. Di sisi Adam berdiri Hawa yang setia, di sisi Rasulullah SAW hadir sahabatnya yang agung.

Di sisi raja yang mulia tegak bersama menteri yang amanah. Di sisi seorang suami ada isteri yang mencintai, menghormati dan memberi sokongan tidak berbelah bagi. Kita perlukan mereka untuk menjalani hidup ini dengan gembira.

Tiada yang paling berharga di dunia melainkan pendamping setia, sahabat, jiran dan sanak saudara yang mahu dicintai dan ikhlas mencintai kita. Tetapi perlu diingat bahawa sesiapa yang tidak mencintai mustahil akan dicintai.

-Dr Juanda Jaya

Monday, February 26, 2007

Tajid Iman: Penyakit ujub ‘musuh’ orang beriman

Ramai terpedaya boleh terlepas azab kerana amalan dibuat sudah banyak

ORANG yang banyak beramal sering dijangkiti penyakit ujub, rasa hebat, aman dan selamat kerana bergantung harap kepada amalannya semata-mata, seolah-olah syurga berada di hadapannya dan neraka jauh di belakangnya.

Padahal, tidak siapapun tahu di mana akhir destinasi seseorang akan berlabuh. Mengapa berasa selesa di dalam zon iman dan amal yang terbatas itu? Sementara syaitan dan tenteranya setiap saat menabuh genderang perang mengalir bersama darah manusia.

Hitungan syaitan bukan jam atau minit, tetapi setiap satu saat dipertaruhkan untuk mengajak manusia kepada kekufuran. Satu saat itu akan menentukan apakah nilainya pahala atau dosa?

Tentu ramai manusia yang tercampak ke jurang neraka disebabkan kurang satu saat hitungan pahalanya. Ramai juga yang terselamat kerana satu saat yang dilakukan adalah untuk amal salih. Bukankah Allah SWT itu amat halus hisab-Nya?

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: “Sekiranya orang kafir mengetahui mengenai rahmat Allah, nescaya dia tidak pernah berputus asa untuk memperoleh syurga. Dan sekiranya orang mukmin mengetahui segala yang menjadi milik Allah berupa siksa-Nya, nescaya dia tidak akan berasa aman dari neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Begitulah dua penyakit yang berbahaya iaitu berputus asa daripada rahmat Allah SWT dan tertipu dengan perasaan aman serta selesa daripada azab-Nya. Jalan selamat di antara keduanya adalah yakin dengan rahmat Allah dan tetap waspada dengan ancaman-Nya.

Ketaatan tidak dapat dilakukan tanpa kita mengetahui yang manakah jalan maksiat atau sebaliknya. Ia penting untuk memastikan kita tidak menganggap baik perkara yang buruk dan sebaliknya.

Bahkan ada yang mencampurkan perbuatan yang hak dengan yang batil seperti ditegaskan di dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman, bermaksud: “Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (al-Quran) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat) dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang murah dan hanya kepada-Ku kamu bertakwa. Janganlah kamu campurkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 41-42)

Ayat itu menjelaskan syarat ketaatan dan kebaktian kepada Allah SWT dengan mengikuti al-Haq (nilai kebenaran) yang tersusun dalam al-Quran sekali gus mengetahui jalan yang batil dan sekali-kali tidak mencampurkan keduanya demi memuaskan hawa nafsu.

Ramai hamba Allah SWT melakukan ketaatan, tetapi apakah kita sudah memastikan ketaatan itu sekali gus adalah penolakan terhadap kebatilan? Berapa ramai yang masih rela tunduk kepada unsur maksiat walaupun dia kuat beribadat?

Rasulullah SAW pernah menyatakan mengenai sifat manusia yang ‘hidup di dalam dua alam’ antara taat dan maksiat, menerusi sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sungguh aku akan menemui orang dari kalangan umatku, mereka datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan pahala seberat gunung Tihamah berwarna putih.

“Kemudian Allah menjadikannya debu berterbangan (sia-sia). Mereka adalah saudara-saudaramu, dan keluargamu sendiri. Mereka beribadah pada malam hari seperti kamu beribadah, tetapi apabila bersendirian mereka suka mengerjakan perbuatan yang diharamkan oleh Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Taat dan maksiat tidak mungkin dikembarkan. Kedua-duanya saling bertentangan dan tak akan pernah bersatu. Kadang kala manusia berfikir tidak mengapa melakukan maksiat asalkan buat amal yang banyak.

Dirinya terlalu harapkan rahmat Allah, tetapi lupakan seksa-Nya. Apakah mungkin pahala yang dikumpulnya itu cukup untuk menebus dosanya? Al-Quran menyindir perbuatan orang yang berasa yakin dengan rahmat Allah SWT walaupun berbuat jahat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka generasi yang jahat yang mewarisi al-Kitab, yang mengambil harta benda dunia yang murah ini seraya berkata: “Kami akan diberi ampunan.” (Surah Al-A'raf, ayat 169)

Sesungguhnya mereka tertipu oleh hasutan syaitan dengan fahaman sesat iaitu berasa aman ketika melakukan dosa kerana sudah beramal salih. Hamba yang tunduk dengan sebenarnya kepada Allah SWT tidak akan rela unsur maksiat menyerang hatinya.

Dia akan berusaha menolak setiap sengatan berbisa itu demi memastikan hatinya hidup dengan iman dan amal yang disemai. Untuk apa bersungguh-sungguh menjaga iman dan amal, tetapi merosakkannya dengan satu sengatan bisa kejahatan yang dilakukan dengan sengaja.

Sesungguhnya sengatan beberapa ekor kala ke atas tubuh yang luka adalah lebih ringan daripada sengatan syahwat ke atas hati yang mentaati Allah.

Begitulah perasaan orang yang beriman ketika melakukan dosa, ia akan berasa sakit, sedih dan malu di hadapan Allah walaupun tiada orang yang melihatnya.

Monday, February 12, 2007

Nikmat bertambah balasan bersyukur

Anugerah rezeki berlipat ganda jika manusia ikhlas, sentiasa mengingati Tuhan

MENGAPA seorang hamba Allah SWT sanggup bersusah payah mengerjakan sembahyang dengan khusyuk, bersedekah dan berpuasa, melaksanakan haji dan menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh?

Mengapa pula dia sanggup melipat gandakan kesabarannya ketika dihadapkan dengan pujukan syaitan dan rayuan syahwatnya? Untuk apa ketaatan dan kesabaran itu semua?

Jawabnya hanya untuk Allah SWT segala ibadatku, hidup dan matiku. Begitu indahnya hubungan percintaan ini. Bila hamba memuji Allah SWT, Dia membalasnya dengan pujian yang lebih baik.

Pada suatu hari, Ibnu Umar mendengar seseorang memuji Allah SWT dengan pujian yang paling indah. Rasulullah SAW bertanya: “Siapakah gerangan yang memuji Allah dengan lafaz itu? Seseorang menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Baginda bersabda lagi: “Aku amat kagum dengan ucapan itu, kerana ucapan itu telah dibukakan pintu-pintu langit.” Ibnu Umar berkata, setelah saat itu aku tidak pernah meninggalkan bacaan itu. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Tiada yang layak menerima pujian terbaik melainkan Allah SWT. Seseorang yang beradab kepada Allah SWT akan berasa di dalam dirinya banyak kelemahan walaupun manusia memuji atas kemuliaan dan kebijaksanaannya.

Sedangkan Rasulullah SAW, makhluk paling mulia di atas muka bumi ini tidak selesa dengan puji-pujian yang melampau ke atas diri Baginda. Hal ini pernah dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW.

Daripada Anas bin Malik beliau berkata: Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Muhammad, engkau adalah pemimpin kami dan juga putera pemimpin kami. Wahai Muhammad engkau adalah lelaki yang terbaik di antara kami dan juga putera terbaik kami.” Kemudian Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, katakanlah dengan sederhana dan janganlah kamu semua terpengaruh oleh pujukan syaitan. Aku adalah Muhammad bin Abdullah, aku hanyalah hamba Allah, aku tidak menyukai kedudukan yang lebih tinggi daripada apa yang telah ditetapkan Allah untukku.” (Hadis riwayat Al-Nasa'i)

Ada beberapa sebab mengapa kita suka memuji Allah SWT dan yang pertama, kerana mengharapkan Allah SWT membalas pujian itu dengan pujian yang lebih baik. Bukankah Allah SWT suka membanggakan hamba-Nya di sisi malaikat.

Bagaimanakah perasaan kita apabila mendengar Allah SWT memuji diri kita dengan sebutan: “Wahai hamba-Ku, wahai hamba yang soleh, wahai hamba yang taat, yang meninggalkan syahwatnya kerana-Ku, yang membeli syurga-Ku dengan hartanya, yang menjual dirinya di jalan-Ku. Wahai hamba tempat limpahan rahmat-Ku, tempat turunnya penjagaan dan perlindungan-Ku, tempat berkumpulnya segenap keredaan-Ku. Wahai hamba yang banyak memuji dan bersungguh-sungguh mencintai. Bagimu rahmat dan ampunan-Ku.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai hamba-Nya, Dia memanggil Jibril dan berfirman, Sesungguhnya Allah mencintai dia, oleh itu, cintailah dia, kemudian Jibril mencintainya. Jibril pun menyeru malaikat di langit seraya berkata: Sesungguhnya Allah mencintai hamba ini, maka cintailah olehmu sekalian, lalu seluruh penghuni langit mencintainya. Akhirnya kecintaan itu disampaikan kepada seluruh makhluk di bumi.” (Muttafaqun Alaih)

Kedua, Al-Quran menyatakan balasan kepada orang yang memuji Allah SWT akan ditambah ke atasnya nikmat yang banyak. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kalian bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepada kalian.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Pujian untuk Allah SWT dilafazkan kerana kita malu menerima berjuta nikmat dari-Nya tanpa membalas apa-apa. Malu kerana mengakui Allah SWT menyayangi kita tetapi hanya sedikit amal yang dipersembahkan untuk-Nya.

Siapakah yang mampu membeli nikmat sihat, iman dan Islam? Dengan nikmat itu manusia hidup bahagia, aman dan sejahtera. Harga ibadat yang kita lakukan tidak akan cukup untuk membeli nikmat Allah SWT itu.

Tetapi, Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah menunjukkan satu ibadat yang mahal harganya, iaitu memuji Allah. Bukan hanya boleh membeli nikmat Allah SWT sedia ada, bahkan Allah SWT berjanji melipat gandakan nikmat lainnya.

Syaitan mengetahui rahsia ibadat yang sungguh bernilai ini sehingga dia berkata dengan kesombongan yang melampau yang bermaksud: “Dan Engkau (Allah) tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (memuji-Mu).” (Surah Al-A'raf, ayat 17)

Begitulah hakikatnya, satu pujian boleh mendatangkan kebaikan kepada yang memuji. Jika sesama insan kita kadang-kadang terpaksa memuji untuk mengharapkan balasan, mengapa kepada Allah SWT, seorang hamba amat terbatas melafazkan pujian demi nikmat kehidupan yang amat bernilai.

Begitulah manusia yang mengaku bijak pandai tetapi kurang logik berfikir mengenai Tuhannya. Sesungguhnya Allah SWT sukakan pujian dan hakikatnya pujian itu bukan untuk-Nya bahkan untuk diri orang yang memuji-Nya.

INTI PATI


Seseorang yang beradab kepada Allah SWT akan berasa di dalam dirinya banyak kelemahan walaupun manusia memuji atas kemuliaan dan kebijaksanaannya.


Al-Quran menyatakan balasan kepada orang yang memuji Allah SWT akan ditambah ke atasnya nikmat yang banyak.


Pujian kepada Allah adalah satu ibadat yang mahal harganya. Bukan hanya boleh membeli nikmat Allah SWT sedia ada, bahkan Allah SWT berjanji melipat gandakan nikmat.


Rasulullah SAW, makhluk paling mulia di atas muka bumi ini tidak selesa dengan puji-pujian yang melampau ke atas diri Baginda. Oleh itu, pujian selayaknya hanya kepad Allah SWT.


Ijmak ulama sepakat mengatakan pakaian orang Islam tidak semestinya kopiah, serban dan jubah. Kita bebas memilih fesyen asalkan menutup aurat.


Wajar kita memakai jubah, serban dan berkopiah dengan niat mengikut sunnah Rasulullah. Perbuatan itu sebahagian tanda kasih kepada Rasulullah.


Sesiapa memakai jubah, serban dan kopiah dengan niat bermegah dan menunjukkan diri lebih alim, perbuatan itu ditegah dalam Islam yang termasuk dosa.

Sifat malu Rasulullah kepada tuhan wajar dicontohi

DARIPADA Abu Said al-Khudri katanya: “Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu daripada gadis pingitan. Apabila Baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya daripada wajah Baginda.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan ‘Laa ilaha illallah’ (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman.”( Riwayat al- Baihaqi).

Di dalam perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, ‘rasa malu’ adalah tangga yang pertama. Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah.

Rasulullah sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah SWT dan ia terserlah dalam kisah Mi'raj Baginda iaitu di saat Rasulullah menerima perintah secara langsung agar umatnya mengerjakan solat.

Pada peringkat awal, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 kali dalam sehari dan Baginda sanggup tetapi nabi dan Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad.

Lantas Baginda meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada lima kali sehari. Saat itu, baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat.

Namun, baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah SWT. Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri Baginda. Malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya.

Kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat itu dan juga ibadat lain? Begitulah manusia, lazimnya hanya berasa malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan akhirat di hadapan Tuhan.

Kita tidak berasa malu dengan dosa yang berbukit yang pernah kita lakukan. Malah, mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan kita untuk bertemu Allah lantaran berasa malu di atas segala kejahatan dilakukan yang tidak pernah luput daripada penglihatan-Nya.

Abdullah Ibn Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu adalah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya dari segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka ia malu kepada Allah dengan sepenuh malu.”

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, January 24, 2007

CINTA...


"CINTA yang tidak pernah berubah hingga ke akhir hayat adalah cita-cita setiap pasangan yang berkasih.

Setiap ujian mampu diharungi dengan sabar. Begitu juga pembuktian cinta kepada Allah yang menagih pengorbanan hamba-Nya. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Penguasa alam
semesta. Janji ini menjadi penawar di hati seorang hamba, reda meredah setiap ujian kehidupan atas nama qada dan qadar-Nya.

Firman Allah: Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.(Surah al-Baqarah, ayat
216)

Cinta kepada-Nya tidak pernah luntur dalam setiap keadaan, susah atau senang sentiasa setia dengan janji yang diikrarkan hingga kembali kepada-Nya.

Maka marilah kita hayatilah doa di bawah ini, semoga kita semua dikurniakan cinta yang sejati di dunia dan akhirat.

Ya Allah, sesungguhnya saya memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan saya kepada cinta-Mu.

Ya Allah apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang saya cintai maka jadikanlah ia kekuatan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang saya cintai maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai.

Ya Allah jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling kucintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.

Ya Allah jadikan saya mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, rasul-Mu dan hamba-Mu yang salih. Ya Allah hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah saya bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai.

Ya Allah jadikanlah saya mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredaan-Mu(Hadis at-Tirmizi dalam Jami' al-Sahih, Rasulullah bersabda: Inilah antara doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud).

Sahabat sekalian ini dipetik dari keratan akhbar untuk tatapan bersama. Insya-allah..moga kita peroleh cinta sejati dunia & akhirat"

-quote from nur_soleha0901

Monday, January 08, 2007

my industrial trainning..

salam...
today is my 1st day doing my industrial trainning at pinter learning...i'm so nervous..
insyaAllah i'll do my very best...

Monday, December 18, 2006